Monday, January 9, 2012

KESAN MEDIA

ANIQAH, Februari 2009

KESAN MEDIA TERHADAP PENTARBIAAHAN ANAK

Tidak dinafikan media mempunyai peranan dan kesan ke atas kehidupan kita dan ia telah diperdebatkan baik di timur mahupun di barat dan ia berkisar sekitar natijah kewujudannya dalam tamadun manusia.

Kita hidup dalam masyarakat yang secara individu memuja kebebasan dan ramai orang memikirkan apabila ada sumber yang akan memberi kesan terhadap anak-anak maka itu adalah sesuatu yang harus menjadi keprihatinan kita.

Semua menyedari zaman anak-anak adalah telalu rapuh kerana ibarat kain putih pada zaman itulah ia menjadi tanggungjawab kepada kedua ibu bapa untuk mencernakan dan mewarnakan apakah sahsiah anak-anak yang harus dibentuk untuk menghadapi zaman-zaman seterusnya.

Anak-anak mendapat pendidikan di sekolah dan guru-guru adalah sumber ilmu dan mereka menjadi role model kepada anak-anak di samping kedua ibu bapa yang mentarbiyahkan mereka.
Hari ini anak-anak terdedah dengan pelbagai media komunikasi bermula daripada radio, televisyen, akhbar, majalah sehinggalah internet sebuah perkampungan global yang tanpa sempadan dengan tag WYSWYG ‘What You See What You Get”.

Salah satu daripada daerah yang menjadi bahan kajian cendikiawan di universiti adalah adegan ganas dan seksual yang ditonjolkan di televisyen yang ditangapi memberi kesan terhadap kanak-kanak yang mungkin terpengaruh dengan aksi berkenaan.

Apa yang terpampang di internet lebih membimbangkan lagi kerana kuasa sensorship adalah di tangan pengguna dan ibu bapa di rumah perlu mengawasi apakah laman-laman yang ditelosori anak-anak.

Televisyen dan internet adalah alat dan adalah tidak wajar untuk kita membuang peti televisyen ke dalam sungai dan membakar modem justeru untuk melahirkan generasi yang berketrampilan dalam zaman dunia yang semakin mencabar.

Hari ini anak –anak bukan lagi seperti anak-anak zaman tahun 50-an dan 60-an yang bermain ting-ting, layang-layang, masak-masak, kawin-kawin atau sorok-sorok setelah penat belajar di sekolah.

Hari ini anak-anak belajar daripada semua daerah yang boleh dijadikan contoh baik media mahupun manusia di persekitaran mereka sehinggakan anak lelaki kini mempunyai budaya membawa cermin kecil untuk melihat rambutnya walau di mana-mana.

Ironisnya tanpa pengisian tarbiyah maka budaya membuang masa seperti melepak di pasaraya, kafe internet seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita, dan ibu bapa yang apologetik membiarkan anak-anak mereka ke sana ke mari tanpa arah yang pasti.

Jika media itu mempunyai kuasa untuk mencorakkan pemikiran dan tindakan massa, maka media itu adalah tertakluk kepada etika penyiaran yang digariskan oleh pihak pemerintah.

Kalau Amerika yang menjadi jaguh media dengan Rupert Murdoch dan stesen satelit seperti CNN dan FOX juga dibimbangi oleh rakyatnya yang selama ini kita berpandangan lebih liberal dan jauh ke depan, maka kita yang mendapat tempias kemodenan itu perlu bermuhasabah.
yang digeruni ummah kini sudah memasuki rumah kita, maka adalah menjadi tanggungajwab kita untuk menangani kemelut peperangan yang datang bukan dalam bentuk peluru atau bom tetapi ia datang dalam bentuk yang cukup menawan.

Keghairahan kita menanti program-program yang menjadi idaman tontonan massa, tanpa kita sedari mempunyai jarum halus yang bisa menusuk ke dalam peradaban kita sebagai insan Muslim yang sewajarnya ditarbiyah menurut kaca mata yang soleh.

Drama-drama yang dipertontonkan sedikit sebanyak akan memberi kesan, dan ada teman yang bertanya, “apakah itu sebenarnya belaku di alam nyata di luar peti kaca tv?”

Apa yang dipaparkan di televisyen itu adalah cermin apa yang berlaku di dalam masyarakat, seperti filem tahun 50-an yang berjodol “MASYARAKAT PINCANG” yang menggambarkan masyarakat Melayu pada ketika itu.

Kepincangan itu masih wujud tetapi ia hanya disedari oleh mereka yang prihatin dan sensitif dengan realiti warna dan budaya masyarakat kita hari ini.
Media memang ada kesannya terhadap kita.

Jangan Melatah Jika Aspirasi Anak Bertentangan

Jangan Melatah Jika Aspirasi Anak Bertentangan



ANIQAH, Mac 2009

Kalau kita bertanya kepada ibu bapa, semua akan menyatakan perasaan dan keinginan mereka untuk melihat anak-anak mereka berjaya dan yang pentingnya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Ada seorang ayah yang saya tanyakan kenapa dia menghantarkan anaknya ke tadika Islam dan seterusnya ke sekolah agama yang mengadunkan pelajaran akademik dan agama beliau lantas memberi jawapan: “sekurang-kurangnya ada anak yang akan mendoakan saya apabila saya mati kelak”.

Jawapan sepontan itu bukanlah jawapan gurauan tetapi ia adalah luahan di atas kesedaran seorang ayah yang berwawasan jauh maknanya perjuangan di padang kehidupan ini tidak akan berakhir di sini tetapi apa yang kita lakukan akan menerima hisaban di padang mahsyar di hadapan Allah Robbul Jalil.

Membina manusia mengikut acuan Islam itu perlu dicernakan semenjak anak itu masih di dalam kandungan ibu dan seorang ibu yang bakal melahirkan anak hendaklah sentiasa membaca al-Quran sementara suami yang menjadi ayah sentiasa berzikir agar wirid mereka didengar oleh anak yang masih janin dan seterusnya membesar di dalam rahim ibu.

Anak yang di dalam kandungan ibu ditarbiyah dengan mendengar kalimah thoyyibah dan apabila dilahirkan diazan dan diiqamatkan dan dodoian untuk anak yang terus membesar itu perlu berkesinambungan dengan kalimah Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. sebagai mukadimah kepada kehidupan yang berpaksikan kepada Islam.
Sebaik sahaja berumur 7 tahun anak itu hendaklah diajarkan bagaimana untuk menunaikan solat dan ayah sebagai qiadah yang perlu menjadi pemimpin dan contoh dalam sebuah keluarga perlu mempraktikkan sembahyang berjemaah bersama keluarga dan kebiasaan ini perlu diteruskan walaupun anak telah dewasa.

Ayah dan ibu adalah menjadi perancang kehidupan anak-anak pada masa depan dan ini perlu difahami oleh anak-anak itu yang dididik sejak awal agar menghormati kedua ibu bapa dan aspirasi mereka tentunya mengharapkan natijah yang terbaik hasil daripada pendidikan yang diterapkan di rumah.

Kedua ibu bapa perlu merancang pendidikan anak-anak bermula dengan keperluan fardu ain dan kemudiannya pendidikan yang ditanggapi sebagai keperluan duniawi iaitu pendidikan akademik yang akan menentukan arah dan halatuju kerjaya apabila dewasa.

Pekerjaaan yang digarap oleh individu Muslim adalah dikira ibadah selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat dan memanglah matlamat pendidikan itu sendiri adalah bagi menyediakan ruang yang selesa untuk generasi yang meninggalkan persekolahan dan institusi pengajian tinggi untuk mengharungi alam pekerjaan.

Mungkin semasa zaman anak-anak kedua ibu bapa mempunyai keinginan agar anak-anak mereka mempunyai kerjaya yang cemerlang seperti menjadi doktor, jurutera atau peguam tetapi mereka harus menyedari bukan semua impian mereka boleh direalisasikan.

Anak-anak perlu dikondisikan dengan persekitaran atau bi’ah yang solehah dan kita sebagai ibu bapa perlu peka dengan pergaulan anak-anak kita kerana teman itu merupakan cermin maka kita kena perhatikan dengan siapakah anak-anak kita berkawan.

Mungkin jika tersalah tanggap kita akan dicop rebagai ibu bapa yang rigid yang begitu mengongkong anak-anak, tetapi kita perlu berwaspada untuk mendekati anak-anak yang semakin membesar dan kita juga harus mengambil kira sensitiviti anak-anak.
Apabila mereka semakin membesar dan seterusnya menjadi dewasa kita tidak boleh lagi mengambil penedekatan seolah-olah mereka masih anak-anak yang perlu disuap dan ditatang selalu tetapi anggaplah mereka sebagai teman kita.

Sudah tentu hubungan mesra itu perlulah dipupuk sejak anak-anak dan kalau semasa kecil kita peluk mereka, kita juga mesti mentarbiahkan anak-anak kita yang telah dewasa untuk memeluk dan mencium tangan kedua ibu bapa walaupun mereka sesudah ini akan bergelar bapa pula.

Kita mengajar anak kita mendoakan kedua ibu bapa sebagaimana kita mendoakan kedua ibu bapa kita dan proses ini adalah berkesinambungan dan menjadi rutin sesudah solat sesuai dengan hadis apabila mati seorang anak Adam maka terputusalah amalannya kecuali sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh.

Ilmu keibubapaan (parenting) ini tidak diajar secara formal dan kini sudah sampai masanya satu pendekatan yang serius diberikan terhadap institusi perkahwinan dan tentunya kursus pra-perkahwinan itu tidak mencukupi diadakah setakat empat atau lima hari sahaja sedangkan kehidupan bersuami isteri idealnya adalah untuk memenuhi sepanjang hayat.


Seorang ibu berpendapat ibu bapa memainkan peranan penting dalam menasihati dan memberi panduan menentukan halatuju pendidikan anak-anak zaman ini.

“Jika kita biarkan mereka membuat pilihan sendiri sepenuhnya dikhuatiri ia akan membinasakan masa depan mereka, maklumlah anak-anak zaman ini mudah terpengaruh dengan kawan-kawan dan gejala kurang baik,” katanya.

“Perbincangan dengan anak-anak dan mengetahui pendapat mereka mengenai sesuatu perkara terutama berkaitan pelajaran adalah penting agar kita dapat bertukar-tukar idea dan mempengaruhi mereka membuat keputusan yang bijak.”


Kadang-kadang semasa menjalani proses pendidikan baik di peringakat sekolah atau di unversiti anak-anak itu terdedah dengan keadaan sekeliling berbeza yang meyebabkan mereka meminati bidang yang mungkin tidak pernah diimpikan oleh kedua ibu bapa mereka.

Jika berlaku pertembungan di antara aspirasi kedua ibu bapa yang bertentangan dengan citarasa anak-anak yang telah ditatang bagai minyak yang penuh sejak zaman anak-anak, maka kedua ibu bapa perlu berlapang dada kerana mungkin ada hikmah yang tersembunyi dengan pilihan bidang atau kerjaya yang akan diceburi zuriat mereka.
Ketrampilan dalam bidang akademik perlu diseimbangkan dengan tarbiah ruhiyah yang akan membina dalaman insan generasi Muslim kerana apabila tasawwur anak-anak kita jelas untuk menghayati kehidupan sebagai manusia muslim, maka di sana akan ada keharmonian dalam khidupan seharian yang berpaksikan iman, akidah dan akhlak.

Mengasah Kegemaran Membaca

Mengasah Kegemaran Membaca

Aniqah, April 2009





Pepatah Melayu ada mengatakan “kalau hendak melentur buluh lenturlah ia semasa rebung” yang membawa maksud jika kita hendak menanamkan sesuatu budaya atau amalan kehidupan, ia perlu disemai dan ditanamkan semasa anak-anak itu masih di awal usia.

Membaca adalah sumber ilmu dan dengan pembacaan yang luas kita akan terdedah dengan khazanah ilmu yang akan memberi manfaat dan sewajarnyalah sebagai ibu bapa kita memberikan tumpuan untuk menjadikan anak-anak kita menjadi pencinta ilmu dan sentiasa mengejar ilmu.

Apabila Allah menurunkan wahyu-Nya yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui Malaikat Jibril di Gua Hira’, Allah memulakan dengan kalimah ‘Iqra’’ yang bermaksud ‘bacalah”, maka di sini kita boleh mengambil iktibar bahawa membaca itu adalah menjadi asas penyebaran ilmu.

Apa yang saya perhatikan apabila saya berada di lapangan terbang di mana-mana sahaja baik di Los Angles, Tokyo, Hong Kong, Bangkok dan Beijing, para penumpang yang menunggu pesawat akan tersandar dengan buku di tangan hatta semasa di dalam pesawat buku tidak akan lekang daripada mereka.

Buku akan menjadi teman yang setia terutamanaya apabila kita berada dalam perjalanan yang jauh dan mengambil masa yang berjam-jam untuk sampai ke destinasi umpamanya di dalam bas, keretapi atau kapal terbang maka untuk menghilangkan rasa jemu kita membaca buku.

Sebagai ibu bapa kita tahu bahawa kemahiran untuk membaca adalah penting dan kita mungkin berasa kecewa jika anak kita tidak boleh membaca seperti anak-anak orang lain dan jika ini terjadi kita perlu berbuat sesuatu untuk memperbetulkannya.
Ada beberapa sebab yang membuatkan anak-anak tidak tertarik untuk membaca umpamanya justeru tarikan televisyen, permainan video dan aktiviti-aktiviti selepas sekolah.

Kehadiran kafe siber yang menjadi tumpuan kanak-kanak sebenarnya adalah satu fenomena yang kurang sihat yang membawa kepada budaya melepak dan membuang masa dengan permaian komputer seolah-olah mereka berada dalam dunia lain terjerit-jerit kersonokan melambangkan kekosongan akhlak.

Untuk menggalakkan anak-anak rajin membaca kedua ibu bapa sewajarnya menunjukkan contoh yang baik dengan aktiviti membaca sama ada bahan yang ringan seperti akhbar atau majalah atau buku yang bersifat ilmiah.

Anak-anak yang masih kecil boleh dikenalkan dengan ‘Bed Time Story’ iaitu siri cerita kanak-kanak yang menarik dan menyeronokkan dibacakan sebelum anak tidur sebagai mukadimah motivasi membaca buat mereka.

Filem yang berdasarkan buku menjadi satu tarikan tetapi malangnya industri filem di Malaysia tidak mampu untuk menterjemahkan karya sastera kepada filem dan kita tidak akan dapat melihat kejayaan novel Harry Porter ditiru di negara ini.

Kita kena mengasuh anak-anak kita membaca dan pada masa yang sama kita kena mengenalpasti apakah kecenderungan anak-anak kita lantas kita belikan buku-buku yang berkaitan dengan minat mereka seperti alam haiwan, kedoktoran, kejuruteraan, permotoran, kembara, dan sebagainya.

Membaca komik masih boleh dimaafkan tetapi kehadiran majalah-majalah hiburan yang menggunung di pasaran tidak akan menambah daya intelek anak-anak dan ia bukan satu pengisian yang ideal untuk menjadi pembaca yang baik.

Ibu terutamanya perlu meluangkan masa untuk membaca di depan anak-anak sebagai manifestasi belaian kasih sayang dan tugas untuk mendidik anak-anak sejak kecil tidak perlu tergopoh gapah untuk cepat-cepat diserahkan kepada guru tadika atau pembantu rumah.

Mendidik anak-anak adalah tugas aula kedua ibu bapa dan masing-masing tidak boleh tolak menolak antara satu sama lain atas alasan kesibukan kerana yang akan menerima natijah adalah anak-anak yang nanti akan terasa disisihkan dan ia akan memberi kesan psikologi apabila semakin membesar nanti.

Untuk mendekatkan anak-anak dengan tarbiyah Islamiah kenalkan mereka dengan buku-buku sirah Nabi bermula dengan NabiAdam a.s. sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w dan kemudiannya dengan buku-buku yang akan membina akhlak.

Anak-anak adalah ibarat kain putih maka yang akan mencorakkan mereka adalah kedua ibu bapa maka sesudah diperkenalkan dengan buku-buku yang akan menjadi teman dan sumber ilmu pendidikan, mereka sewajarnya diperkenalkan dengan kitab suci Al-Quran yang akan menjadi sumber ketenangan sepanjang kehidupan.

Cara untuk mengajar anak untuk membaca dengan berkesan ialah dengan menunjukkan mereka cara membaca secara kuat dan kemudiannya diajar membaca secara berdiri dengan mengeluarkan setiap perkataan dengan jelas.

Sesi tarbiyah membaca eloklah dimulakan dengan bahan bacaan yang ringan dan kemudiannya ditekankan tentang stail termasuklah intonasi, pause (berhenti sejenak), nada suara dan gerak tubuh badan seperti seorang pemidato profesional di hadapan rostrum.

Anjakan paradigma perlu dijelmakan di dalam setip rumah individu Muslim agar rumah itu sendiri menjadi bait al-ilm (rumah ilmu) dengan mengadakan perpustakaan mini sebagai sumber rujukan keluarga.

Apabila tabiat membaca dapat dicernakan dengan berkesan di dalam setiap keluarga maka ruh ilmu itu akan terserlah dan buah kepada ilmu yang digarap adalah amal yang tersohor sebagai natijah terjemahan addin sebagai satu cara hidup.

Cinta Pada Usia Emas

Cinta Pada Usia Emas



Majalah ANIQAH, September 2009

Institusi perkahwinan adalah satu jalinanan pertemuan dua insan bagi mengharungi kehidupan bagi mengimarahkan dunia yang berkesinanbungan sejak zaman moyang kita Nabi Adam a.s. dan Hawa diturunkan ke bumi setelah terusir daripada syurga.

Pertalian dua insan yang dihubungkan dengan ikatan perkahwinan merupakan fitrah semula jadi hasil daripada perhubungan cinta dua insan meskipun ada yang bertemu jodoh bukan di atas pilihan sendiri tetapi dirancang oleh ibu bapa.

Memang dalam kehidupan berumah tangga pasangan suami isteri tidak akan terlepas daripada menghadapi pelbagai karenah ibarat kata pepatah “sedangkan lidah lagi tergigit” inikan pula interaksi di antara suami isteri pada saban hari akan menghadapi pasang surut suka duka yang menjadi asam garam kehidupan berumah tangga.

Suasana daripada hari pertama mengharungi kehidupan berumah tangga akan berubah hari demi hari apatah lagi apabila pasangan suami isteri itu telah dikurniakan zuriat maka tanggungjawab sebagai suami dan isteri bertambaah kerana mereka kini berperanan sebagai ibu dan ayah.

Bukan semua perkahwinan itu kekal sehingga ke akhir hayat kerana kadang-kadang bahtera pelayaran perkahwinan itu tidak sampai ke destinasi akhir kerana jurumudinya dan orang yang mengongsi bahtera itu mengambil keputusan untuk menamatkan perhubungan yang sah sebagai suami isteri dan masing-masing memilih jalan sendiri untuk hidup bersendiri dan kadang-kadang bertemu jodoh yang baru.

Jodoh yang tidak kekal dan putus di tengah jalan adalah perkara yang dianggap lumrah tetapi bagi pasangan yang telah melebehi usia emas maka fenomena ini walaupun boleh dikatakan sebagai kes terpencil tetapi ia masih berlaku dan perlu disorot asab musababnya..

Ada beberapa faktor yang mungkin kita boleh jadikan sebagai bahan renungan justeru pada usia yang sewajarnya pasangan menghabiskan sisa-sisa hidup yang baki dan memikirkan banyak persiapan untuk menghadapi alm khirat, maka pada usia emas itu ada yang masih mempunyai keinginan untuk bermain cinta dan yang anehnya kadang-kadang pihak isteri yang mencari kekasih baru.

Ada dua keadaan yang patut diperhatikan di sini iaitu cinta pada usia emas ini berlaku pada pasangan yang tidak dikurniakan sebarang zuriat dan masing-masing terlalu sibuk dengan dunia kerjaya dan pertemuan mereka hanyalah pada waktu malam setelah mereka berhempas pulas pada siang hari.



Tidak hairanlah jika berlaku situasi seperti yang dilaporkan kepada mahkamah syariah bagaimana pasangan yang meski tinggal di bawah satu bumbung itu tetapi tidur di bilik yang berasingan bukan setakat sehari dua bahkan telah bertahun-tahun dan pasangan berkenaan tidak dapat merasakan nikmat bersuami isteri lagi.

Tetapi justeru untuk menjaga imej di khalayak umum dan mungkin sebab rasa malu alah dengan keluarga terdekat maka mereka beraksi seolah-olah segala-galanya beres dan dan tidak apa yang menimpa bahtera perkahwinan mereka, tetapi semuanya itu adalah wayang belaka dan apabila masanya tiba luka yang bernanah itu akhirnya akan pecah dan tidak ada apa yng boleh ditutup-tutup lagi.

Suami yang merasakan tidak dilayan sewajarnya dengan sentuhan fizikal akan mencari jalan keluar dan jika ada peluang untuk mendapat belaian kasih sayang daripada perempuan lain maka rutin dalam rumah tangga yang hambar akan diteruskan tetapi dia akan membuat hubungan di luar pengetahuaan isteri.

Bagi isteri yang juga telah mencapai usia emas apabila mengetahui suaminya telah mempunyai orang lain tentulah akan merasa kecewa tetapi biasanya apabila lelaki tidak kira usia telah dilamun cinta semula dengan perempuan yang lebih muda dalam perkiraannya tidak ada lain kecuali untuk merasa lebih bahagia dengan kekasih baru.

Bagi pasangan yang tidak mempunyai zuriat mungkin jika jalan keluar yang harus dilalui hanyalah melalui penceraian, ia tidak akan memberi kesan yang mendalam kecuali perempuan yang telah lanjut usia itu akan menghadapi trauma kerana setelah lebih suku abad dia akan kehilangan suami.

Untuk hidup bersendirian bukan kerana kematian suami tetapi kerana diceraikan adalah sesuatu yang trajis apatah lagi sebagai isteri yang tidak mempunyai zuriat maka dengan terungkainya perkahwinan maka rasa sunyi itu akan menghimpit dan yang menyedihkan dia tidak lagi punya tempat untuk mengadu apatah lagi untuk mendapatkan belaian kasih sayang.

Dalam senario kedua pula sepasang suami isteri yang telah mencapai usia emas dan mempunyai anak dan cucu, jika berlaku penceraian di antara kedua mereka, maka ia akan menjadi tontonan keluarga dan bicara masyarakat setempat dan ia akan menimbulkan pertanyaan dan orang dengan mudah akan melabel “sudah buang tebiat”.

Bagi suami pada saat usia emas yang dilanda cinta seolah-olah hilang pedoman dan apa yang dirasakan hanyalah untuk memenuhi egonya sebagai lelaki apatah lagi talak itu di tangan lelaki maka dia menggunakan lesen untuk menghilangkan isteri yang telah selama bertahun-tahun bersama.

Ada pula isteri yang mencari kekasih baru kerana suami tidak lagi dapat memenuhi citarasa isteri dan apabila suami gagal untuk memberi nafkah batin maka ada isteri yng bertindak mencari jalan keluar dengan mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Cinta pada usia emas itu sewajarnya harus digilap untuk sesama pasangan suami isteri dan bukan untuk merobohkan istana yang telah lama terbina kerana natijahnya bukan akan dirasakan oleh pasangan itu sahaja tetapi seluruh keluarga akan mendapat tempiasnya.


Perkahwianan bukan semata untuk suka-suka dan demi runtunan nafsu tetapi ia menggamit tanggungjawab sebagai tuntutan syariat untuk mewujudkan keluarga yang ideal dan utuh sebagai pelengkap sebuah kehidupan yang harmoni.

BELAIAN SUAMI UNTUK ISTERI YANG MENGANDUNG

BELAIAN SUAMI UNTUK ISTERI YANG MENGANDUNG


Majalah Aniqah. Oktober 2009

BELAIAN SUAMI UNTUK ISTERI YANG MENGANDUNG


Oleh: Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

Apa yang diimpikan dalam perkahwinan oleh pasangan suami isteri adalah zuriat yang akan menjadi penyejuk hati dan ia adalah lambang kasih sayang yang merupakan sebahagian daripada fitrah kehidupan untuk kesenimbungan hidup berkeluarga.

Perasaan seorang suami terutamanya yang baru berkahwin akan berbaur antara gembira dan cemas apabila isteri memberitahu hasil daripada perkahwinan mereka telah membayangkan mereka akan dikurniakan anak.

Bagi suami yang mengharungi pengalaman pertama isterinya mengandung kena memahami petanda bahawa isterinya akan melalui perubahan fizikal dan emosional daripada biasa dan yang paling mudah petandanya isteri mula muntah-muntah dan kadang-kadang pada peringkat awal banyak ingin berehat.

Belaian suami adalah penting untuk isteri yang sedang mengandung dan bagi pasangan suami isteri yang pertama kali akan mendapat cahaya mata, persiapan bukan sahaja setakat yang berbentuk luaran yang berbentuk fizikal tetapi ia memerlukan komitmen ruhiyyah.

Semasa isteri mengandung banyak yang akan dilalui oleh pasangan suami isteri, kadang-kadang isteri jadi begitu sensitif maka suami kena bersabar kerana kadang-kadang ada isteri yang menunjukkan karenah yang bukan-bukan.

Secara manifestasi luaran sebagai seorang suami perlulah menunjukkan rasa kasih sayangnya terhadap isteri agar berasa tenang supaya dapat berehat dan tidur secukupnya, sebagai contohnya dengan mengusap lembut kepalanya .

Seorang suami atau ayah harus menunjukkan rasa bahagia terhadap janin di dalam kandungan isterinya dengan membelainya sebagai tanda sokongan mental yang menyenangkan hati bakal zuriat yang bakal dilahirkan.

Pada saat-saat kehamilan itulah isteri perlukan belaian kasih sayang dan keprihatianan suami dan janganlah biarkan isteri bersendirian maka dampingilah isteri sekerap mungkin umpamanya ketika isteri menjalani pemeriksaan doktor.

Jika keadaan membenarkan eloklah suami sendiri bersama isteri berjumpa doktor untuk mengetahui perkembangan kesihatan isteri dan mungkin ada perbincangan yang perlu dilakukan oleh doktor dengan kehadiran suami.

Bagi pasangan suami isteri yang tinggal sebumbung dengan ibu mertua terutamanya ibu kepada suami, para suami perlulah memahami perasaan isteri yang mungkin mudah terasa kerada kehadirannya maka suami kena bersikap sabar dan mengambil sikap keterbukaan.

Sewajarnya seorang ibu mertua kena memahami keadaan anak dan menantu yang sedang mengalami saat-saat yang mencabar untuk mendapat zuriat maka bahtera rumah tangga anak itu sepatutnya dikemudikan oleh seorang anak yang bergelar suami.

Hiburkan hati isteri untuk mengatasi rasa cemas dan takut untuk menghadapi proses bersalin dengan mengalih perhatian seperti mengajaknya berbelanja keperluan bayi dan pujilah bahawa isteri itu tetap cantik di mata suami.


Apabila disorot daripada sudut agama bayak perkara yang perlu dilakukan oleh seorang suami untuk mendapat keberkatan dan rahmat Ilahi ketika isteri sedang mengandung iaitu dengan banyak berdoa dan bertaubat kepada Allah s.w.t. untuk mengharapkan zuriat yang solih.

Suami hendaklah selalu membaca Al-Quran bersebelahan dengan isteri dan mengharapkan agar anak yang ada dalam kandungan isteri akan memahami keinginan baik yang terkandung dalam Al-Quran tersebut.

Suami hendaklah banyak berpuasa sunat Isnin dan Khamis dan mengerjakan solat berjemaah dengan isteri jika sihat ataupun di masjid sebagai tanda ububdiyaah terhadap Allah s.w.t.

Jika isteri merasa selesa bawalah isteri ke majlis ilmu atau menziarahi orang solih dan hendaklah bersikap sabar dalam menjalani hubungan suami isteri dan menjauhi daripada marah dan bersikap benci terhadap isteri.

Suami perlu banyak berdoa untuk keselamatan isteri yang sedang mengandung dan keselamatan anak yang di dalam kandungan dan banyakkan bersedekah dan menyantuni jiran-jiran dan teman-teman.

Cinta yang telah terjalin apabila diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri perlulah terus dipupuk sebagai teman hidup yang paling dekat dan
hendaklah berlaku jujur dan setia terhadap isteri serta hindari daripada bersikap kejam terhadap isteri.

Selesaikan dahulu jika ada perselisihan faham yang berlaku dengan isteri sebelum masuk tidur dan jangan sesekali dengan mudah mengeluarkan perkataan talaq kepada isteri.


Sebagai suami yang soleh dia akan bersifat empatik untuk turut merasakan penderitaan isterinya walaupun tidak secara langsung dan suami harus banyak terlibat dalam proses jagaan kehamilan, kelahiran bayi dan perhatian terhadap isteri.

Suami hendaklah memberi nasihat dan motivasi kepada isteri agar tetap tabah dan bersabar, di samping itu suami harus banyakkan berdoa dan beristigfar dan selawat agar isteri akan menjadi tenang dan mudah bersalin.

Saat isteri akan melahirkan anak sewajarnya suami ada di sisi dan perkara ini adalah amalan biasa di Barat , OK suami berada katil isteri tetapi di Malaysia hanya ada beberapa klinik persendirian yang membolehkan suami untuk bersama di samping isteri ketika melahirkan anak.

Mengandung merupakan beban dan tekanan terhadap wanita dan dari segi fizikal, dia harus menampung kandungannya, tubuh badannya bekerja lebih kuat serta jantungnya mengepan darah 40% lebih daripada keadaan biasa dan buah pinggangnya harus mengendalikan pembuangan kotoran bayinya.

Waktu pantang dan selepas kelahiran, bayi juga dapat menimbulkan tekanan jiwa dan emosi isteri kerana ia harus menyusu dan membersihkan bayi antara 2-3 jam setiap malam dan suami yang baik akan berusaha mengurangi beban isteri dan turut menjaga bayi di waktu malam.

Begitu seterusnya perhatian dan tanggungjawab suami terhadap isteri itu berterusan, semenjak hamil sehinggalah menjaga anak adalah pekerjaan yang harus dibantu oleh suami agar isteri dapat merasakan kebahagiaan dan keringanan dalam menjalankan tanggungjawab yang berat.

Mungkin ada isteri mengambil kesempatan "over" manja dan suami yang teramat sayang pada isteri akan membuat semua kerja rumah, isteri diberi cuti, semua kerja dibuat suami termasuklah memasak, membasuh baju dan mencuci pinggan mangkuk.

Isteri menjadi terlalu manja kerana sayangkan suami justeru dia tidak ada tempat lain untuk mengadu kasih.