Monday, January 9, 2012

Cinta Pada Usia Emas

Cinta Pada Usia Emas



Majalah ANIQAH, September 2009

Institusi perkahwinan adalah satu jalinanan pertemuan dua insan bagi mengharungi kehidupan bagi mengimarahkan dunia yang berkesinanbungan sejak zaman moyang kita Nabi Adam a.s. dan Hawa diturunkan ke bumi setelah terusir daripada syurga.

Pertalian dua insan yang dihubungkan dengan ikatan perkahwinan merupakan fitrah semula jadi hasil daripada perhubungan cinta dua insan meskipun ada yang bertemu jodoh bukan di atas pilihan sendiri tetapi dirancang oleh ibu bapa.

Memang dalam kehidupan berumah tangga pasangan suami isteri tidak akan terlepas daripada menghadapi pelbagai karenah ibarat kata pepatah “sedangkan lidah lagi tergigit” inikan pula interaksi di antara suami isteri pada saban hari akan menghadapi pasang surut suka duka yang menjadi asam garam kehidupan berumah tangga.

Suasana daripada hari pertama mengharungi kehidupan berumah tangga akan berubah hari demi hari apatah lagi apabila pasangan suami isteri itu telah dikurniakan zuriat maka tanggungjawab sebagai suami dan isteri bertambaah kerana mereka kini berperanan sebagai ibu dan ayah.

Bukan semua perkahwinan itu kekal sehingga ke akhir hayat kerana kadang-kadang bahtera pelayaran perkahwinan itu tidak sampai ke destinasi akhir kerana jurumudinya dan orang yang mengongsi bahtera itu mengambil keputusan untuk menamatkan perhubungan yang sah sebagai suami isteri dan masing-masing memilih jalan sendiri untuk hidup bersendiri dan kadang-kadang bertemu jodoh yang baru.

Jodoh yang tidak kekal dan putus di tengah jalan adalah perkara yang dianggap lumrah tetapi bagi pasangan yang telah melebehi usia emas maka fenomena ini walaupun boleh dikatakan sebagai kes terpencil tetapi ia masih berlaku dan perlu disorot asab musababnya..

Ada beberapa faktor yang mungkin kita boleh jadikan sebagai bahan renungan justeru pada usia yang sewajarnya pasangan menghabiskan sisa-sisa hidup yang baki dan memikirkan banyak persiapan untuk menghadapi alm khirat, maka pada usia emas itu ada yang masih mempunyai keinginan untuk bermain cinta dan yang anehnya kadang-kadang pihak isteri yang mencari kekasih baru.

Ada dua keadaan yang patut diperhatikan di sini iaitu cinta pada usia emas ini berlaku pada pasangan yang tidak dikurniakan sebarang zuriat dan masing-masing terlalu sibuk dengan dunia kerjaya dan pertemuan mereka hanyalah pada waktu malam setelah mereka berhempas pulas pada siang hari.



Tidak hairanlah jika berlaku situasi seperti yang dilaporkan kepada mahkamah syariah bagaimana pasangan yang meski tinggal di bawah satu bumbung itu tetapi tidur di bilik yang berasingan bukan setakat sehari dua bahkan telah bertahun-tahun dan pasangan berkenaan tidak dapat merasakan nikmat bersuami isteri lagi.

Tetapi justeru untuk menjaga imej di khalayak umum dan mungkin sebab rasa malu alah dengan keluarga terdekat maka mereka beraksi seolah-olah segala-galanya beres dan dan tidak apa yang menimpa bahtera perkahwinan mereka, tetapi semuanya itu adalah wayang belaka dan apabila masanya tiba luka yang bernanah itu akhirnya akan pecah dan tidak ada apa yng boleh ditutup-tutup lagi.

Suami yang merasakan tidak dilayan sewajarnya dengan sentuhan fizikal akan mencari jalan keluar dan jika ada peluang untuk mendapat belaian kasih sayang daripada perempuan lain maka rutin dalam rumah tangga yang hambar akan diteruskan tetapi dia akan membuat hubungan di luar pengetahuaan isteri.

Bagi isteri yang juga telah mencapai usia emas apabila mengetahui suaminya telah mempunyai orang lain tentulah akan merasa kecewa tetapi biasanya apabila lelaki tidak kira usia telah dilamun cinta semula dengan perempuan yang lebih muda dalam perkiraannya tidak ada lain kecuali untuk merasa lebih bahagia dengan kekasih baru.

Bagi pasangan yang tidak mempunyai zuriat mungkin jika jalan keluar yang harus dilalui hanyalah melalui penceraian, ia tidak akan memberi kesan yang mendalam kecuali perempuan yang telah lanjut usia itu akan menghadapi trauma kerana setelah lebih suku abad dia akan kehilangan suami.

Untuk hidup bersendirian bukan kerana kematian suami tetapi kerana diceraikan adalah sesuatu yang trajis apatah lagi sebagai isteri yang tidak mempunyai zuriat maka dengan terungkainya perkahwinan maka rasa sunyi itu akan menghimpit dan yang menyedihkan dia tidak lagi punya tempat untuk mengadu apatah lagi untuk mendapatkan belaian kasih sayang.

Dalam senario kedua pula sepasang suami isteri yang telah mencapai usia emas dan mempunyai anak dan cucu, jika berlaku penceraian di antara kedua mereka, maka ia akan menjadi tontonan keluarga dan bicara masyarakat setempat dan ia akan menimbulkan pertanyaan dan orang dengan mudah akan melabel “sudah buang tebiat”.

Bagi suami pada saat usia emas yang dilanda cinta seolah-olah hilang pedoman dan apa yang dirasakan hanyalah untuk memenuhi egonya sebagai lelaki apatah lagi talak itu di tangan lelaki maka dia menggunakan lesen untuk menghilangkan isteri yang telah selama bertahun-tahun bersama.

Ada pula isteri yang mencari kekasih baru kerana suami tidak lagi dapat memenuhi citarasa isteri dan apabila suami gagal untuk memberi nafkah batin maka ada isteri yng bertindak mencari jalan keluar dengan mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Cinta pada usia emas itu sewajarnya harus digilap untuk sesama pasangan suami isteri dan bukan untuk merobohkan istana yang telah lama terbina kerana natijahnya bukan akan dirasakan oleh pasangan itu sahaja tetapi seluruh keluarga akan mendapat tempiasnya.


Perkahwianan bukan semata untuk suka-suka dan demi runtunan nafsu tetapi ia menggamit tanggungjawab sebagai tuntutan syariat untuk mewujudkan keluarga yang ideal dan utuh sebagai pelengkap sebuah kehidupan yang harmoni.

No comments:

Post a Comment