Mengasah Kegemaran Membaca
Pepatah Melayu ada mengatakan “kalau hendak melentur buluh lenturlah ia semasa rebung” yang membawa maksud jika kita hendak menanamkan sesuatu budaya atau amalan kehidupan, ia perlu disemai dan ditanamkan semasa anak-anak itu masih di awal usia.
Membaca adalah sumber ilmu dan dengan pembacaan yang luas kita akan terdedah dengan khazanah ilmu yang akan memberi manfaat dan sewajarnyalah sebagai ibu bapa kita memberikan tumpuan untuk menjadikan anak-anak kita menjadi pencinta ilmu dan sentiasa mengejar ilmu.
Apabila Allah menurunkan wahyu-Nya yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui Malaikat Jibril di Gua Hira’, Allah memulakan dengan kalimah ‘Iqra’’ yang bermaksud ‘bacalah”, maka di sini kita boleh mengambil iktibar bahawa membaca itu adalah menjadi asas penyebaran ilmu.
Apa yang saya perhatikan apabila saya berada di lapangan terbang di mana-mana sahaja baik di Los Angles, Tokyo, Hong Kong, Bangkok dan Beijing, para penumpang yang menunggu pesawat akan tersandar dengan buku di tangan hatta semasa di dalam pesawat buku tidak akan lekang daripada mereka.
Buku akan menjadi teman yang setia terutamanaya apabila kita berada dalam perjalanan yang jauh dan mengambil masa yang berjam-jam untuk sampai ke destinasi umpamanya di dalam bas, keretapi atau kapal terbang maka untuk menghilangkan rasa jemu kita membaca buku.
Sebagai ibu bapa kita tahu bahawa kemahiran untuk membaca adalah penting dan kita mungkin berasa kecewa jika anak kita tidak boleh membaca seperti anak-anak orang lain dan jika ini terjadi kita perlu berbuat sesuatu untuk memperbetulkannya.
Ada beberapa sebab yang membuatkan anak-anak tidak tertarik untuk membaca umpamanya justeru tarikan televisyen, permainan video dan aktiviti-aktiviti selepas sekolah.
Kehadiran kafe siber yang menjadi tumpuan kanak-kanak sebenarnya adalah satu fenomena yang kurang sihat yang membawa kepada budaya melepak dan membuang masa dengan permaian komputer seolah-olah mereka berada dalam dunia lain terjerit-jerit kersonokan melambangkan kekosongan akhlak.
Untuk menggalakkan anak-anak rajin membaca kedua ibu bapa sewajarnya menunjukkan contoh yang baik dengan aktiviti membaca sama ada bahan yang ringan seperti akhbar atau majalah atau buku yang bersifat ilmiah.
Anak-anak yang masih kecil boleh dikenalkan dengan ‘Bed Time Story’ iaitu siri cerita kanak-kanak yang menarik dan menyeronokkan dibacakan sebelum anak tidur sebagai mukadimah motivasi membaca buat mereka.
Filem yang berdasarkan buku menjadi satu tarikan tetapi malangnya industri filem di Malaysia tidak mampu untuk menterjemahkan karya sastera kepada filem dan kita tidak akan dapat melihat kejayaan novel Harry Porter ditiru di negara ini.
Kita kena mengasuh anak-anak kita membaca dan pada masa yang sama kita kena mengenalpasti apakah kecenderungan anak-anak kita lantas kita belikan buku-buku yang berkaitan dengan minat mereka seperti alam haiwan, kedoktoran, kejuruteraan, permotoran, kembara, dan sebagainya.
Membaca komik masih boleh dimaafkan tetapi kehadiran majalah-majalah hiburan yang menggunung di pasaran tidak akan menambah daya intelek anak-anak dan ia bukan satu pengisian yang ideal untuk menjadi pembaca yang baik.
Ibu terutamanya perlu meluangkan masa untuk membaca di depan anak-anak sebagai manifestasi belaian kasih sayang dan tugas untuk mendidik anak-anak sejak kecil tidak perlu tergopoh gapah untuk cepat-cepat diserahkan kepada guru tadika atau pembantu rumah.
Mendidik anak-anak adalah tugas aula kedua ibu bapa dan masing-masing tidak boleh tolak menolak antara satu sama lain atas alasan kesibukan kerana yang akan menerima natijah adalah anak-anak yang nanti akan terasa disisihkan dan ia akan memberi kesan psikologi apabila semakin membesar nanti.
Untuk mendekatkan anak-anak dengan tarbiyah Islamiah kenalkan mereka dengan buku-buku sirah Nabi bermula dengan NabiAdam a.s. sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w dan kemudiannya dengan buku-buku yang akan membina akhlak.
Anak-anak adalah ibarat kain putih maka yang akan mencorakkan mereka adalah kedua ibu bapa maka sesudah diperkenalkan dengan buku-buku yang akan menjadi teman dan sumber ilmu pendidikan, mereka sewajarnya diperkenalkan dengan kitab suci Al-Quran yang akan menjadi sumber ketenangan sepanjang kehidupan.
Cara untuk mengajar anak untuk membaca dengan berkesan ialah dengan menunjukkan mereka cara membaca secara kuat dan kemudiannya diajar membaca secara berdiri dengan mengeluarkan setiap perkataan dengan jelas.
Sesi tarbiyah membaca eloklah dimulakan dengan bahan bacaan yang ringan dan kemudiannya ditekankan tentang stail termasuklah intonasi, pause (berhenti sejenak), nada suara dan gerak tubuh badan seperti seorang pemidato profesional di hadapan rostrum.
Anjakan paradigma perlu dijelmakan di dalam setip rumah individu Muslim agar rumah itu sendiri menjadi bait al-ilm (rumah ilmu) dengan mengadakan perpustakaan mini sebagai sumber rujukan keluarga.
Apabila tabiat membaca dapat dicernakan dengan berkesan di dalam setiap keluarga maka ruh ilmu itu akan terserlah dan buah kepada ilmu yang digarap adalah amal yang tersohor sebagai natijah terjemahan addin sebagai satu cara hidup.
No comments:
Post a Comment